soalan lazim

soalan lazim popular yang kerap kali diutarakan pelanggan

tempoh pajakan tanah

Soalan : Saya telah membeli rumah dan status tanah bagi rumah tersebut ialah pajakan 99 tahun. Bolehkah saya memohon untuk pegangan selamanya?

JAwapan:

Perumahan yang dibeli oleh tuan dengan tempoh Pegangan 99 tahun tidak boleh ditukar kepada pegangan selama-lamanya memandangkan tempoh tersebut telah diputuskan oleh Pihak Berkuasa Negeri semasa pemberimilikan asal hakmilik ini.  Namun, pihak Tuan tidak perlu risau memandangkan sebelum tamatnya tempoh 99 tahun berkenaan, Tuan boleh memohon untuk menyambung tempoh pajakan hakmilik tuan.  Pihak berkuasa negeri akan membuat ketetapan ke atas permohonan Tuan kelak.

Permohonan Tanah kerajaan

Soalan : Saya sebagai individu ingin memohon tanah. Apakah jenis tanah yang boleh dipohon dan apakah persedian yang perlu dibuat sebelum membuat permohonan tanah?

JAwapan:
Dimaklumkan bahawa, pada masa kini dasar yang telah diputuskan oleh Pihak Berkuasa Negeri adalah tiada permohonan baharu boleh diterima bagi permohonan memiliki tanah Kerajaan. Walau bagaimanapun, pada asasnya individu yang ingin memohon tanah Kerajaan di Negeri Perlis perlulah:-
               
           i)    Mengenal pasti lokasi tanah yang hendak dipohon;
           ii)   Mendapatkan maklumat lot/no hak milik tanah yang bersebelahan atau berhampiran tanah yang ingin dipohon;
           iii)  hadir ke Jabatan Tanah dan Galian Negeri Perlis bagi melihat pelan tanah dengan membuat bayaran melihat peta sebanyak RM10.00.

 

hakmilik/ geran tanah hilang

Soalan : Bagaimana caranya kami mendapatkan hakmilik tanah yang hilang?

JAwapan:
Tuan/puan hendaklah memastikan bahawa hakmilik tersebut benar-benar hilang sebelum membuat repot kehilangan di Balai Polis yang berdekatan. Seterusnya tuan/puan bolehlah hadir ke Jabatan ini untuk  memohon hakmilik yang baru. Permohonan hendaklah menggunakan borang permohonan hakmilik hilang (Seksyen 187B KTN) yang telah lengkap diisi dan disertakan dengan repot polis, akuan kehilangan, salinan hakmilik dan akuan bank (jika ada), carian rasmi dan salinan kad pengenalan/sijil kematian dengan bayaran permohonan sebanyak RM90 bagi setiap hakmilik.