soalan lazim berkaitan dengan urusan tanah

Soalan Lazim Popular:

Tempoh Pajakan Tanah y

S : Saya telah membeli rumah dan status tanah bagi rumah tersebut ialah pajakan 99 tahun. Boleh kah saya memohon untuk pegangan selamanya?

J: Perumahan yang dibeli oleh tuan dengan tempoh Pegangan 99 tahun tidak boleh ditukar kepada pegangan selama-lamanya memandangkan tempoh tersebut telah diputuskan oleh Pihak Berkuasa Negeri semasa pemberimilikan asal hakmilik ini.  Namun, pihak Tuan tidak perlu risau memandangkan sebelum tamatnya tempoh 99 tahun berkenaan, Tuan boleh memohon untuk menyambung tempoh pajakan hakmilik tuan.  Pihak berkuasa negeri akan membuat ketetapan ke atas permohonan Tuan kelak.

Proses Pindahmilik Tanah/Rumah y

S : Pindahmilik rumah guna borang apa? Jika saya berada diluar pada Perlis bolehkah borang pindahmilik dimuat turun sahaja. Apakah yang diperlukan untuk proses pindahmilik ?

J: Proses pindahmilik akan menggunakan borang 14A. Borang ini boleh dimuat turun melalui portal Jabatan seperti berikut: http://ptg.ptgps.gov.my/brgDaftar.html.Jika berada dalam Perlis, tuan boleh datang sendiri ke kaunter bahagian Pendaftaran Jabatan Tanah dan Galian Perlis atau mana-mana pejabat tanah yang berdekatan secara percuma.

Maklumat penjual dan pembeli serta butiran tanah hendaklah diisi dengan menggunakan samada pen hitam dakwat basah atau ditaip menggunakan mesin taip. Semua maklumat juga hendaklah betul mengikut format dan mengikut maklumat sepertimana yang tercatat dalam geran hakmilik tanah/ rumah tersebut.

Untuk itu, dokumen yang diperlukan adalah geran hakmilik yang asal, salinan  penyata hasil yang telah dijelaskan (jika belum jelas cukai, sila jelas dahulu) dan kad pengenalan asal kedua-dua pihak yang terlibat dalam pindahmilik untuk kegunaan proses penyaksian persetujuan jualbeli.

Setelah itu, proses tandatangan persetujuan jualbeli hendaklah dilakukan dihadapan pegawai penyaksian yang sah dilantik sahaja.

Seterusnya, borang 14A yang telah disempurnakan hendaklah diserah kepada LHDN utk penaksiran cukai. Ini boleh dilakukan oleh pihak puan sendiri atau wakil yang dilantik pihak puan.

Setelah selesai urusan di LHDN, pihak tuan/wakil bolehlah datang ke kaunter bahagian Pendaftaran Jabatan Tanah dan Galian Perlis semula untuk menyempurnakan proses pindahmilik tersebut. Nama pemilik baru akan dimasukkan ke dalam geran hakmilik tanah tersebut dalam masa 24 jam dari tarikh serahan di kaunter.

Hakmilik Hilang

S : Bagaimana caranya kami mendapatkan hakmilik tanah yang hilang?

J: Tuan/puan hendaklah memastikan bahawa hakmilik tersebut benar-benar hilang sebelum membuat repot kehilangan di Balai Polis yang berdekatan. Seterusnya tuan/puan bolehlah hadir ke Jabatan ini untuk  memohon hakmilik yang baru. Permohonan hendaklah menggunakan borang permohonan hakmilik hilang (Seksyen 187B KTN) yang telah lengkap diisi dan disertakan dengan repot polis, akuan kehilangan, salinan hakmilik dan akuan bank (jika ada), carian rasmi dan salinan kad pengenalan/sijil kematian dengan bayaran permohonan sebanyak RM40 bagi setiap hakmilik.

Permohonan Mendapatkan Geran Tanah

S : Sekiranya mempunyai tanah yang telah diusahakan, apakah kaedah permohonan bagi mendapatkan geran?

J: Tuan/puan perlulah mengisi BORANG PERMOHONAN TANAH USAHA & MELIHAT PETA  di Kaunter 7, Jab. Tanah & Galian Perlis. Borang yang telah siap diisi perlu mendapatkan pengesahan dari JKKK kawasan tanah yang dipohon dan borang yang lengkap perlu dikembalikan ke Kaunter 10. Pihak jabatan akan membawa permohonan tuan/puan ke Mesyuarat Jawatankuasa Pemberimilikan Tanah Usaha yang dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Perlis. Jika diluluskan oleh jawatankuasa, Lesen Menduduki Sementara akan dikeluarkan terlebih dahulu dan kemudian pihak jabatan sekali lagi akan membawa permohonan tuan/puan ke Jawatankuasa untuk kelulusan geran. Jika diluluskan, tuan/puan akan menerima notis untuk membuat bayaran premium tanah sebelum geran dapat dikeluarkan.

Tanah Rizab

S : Apakah tanah rizab Melayu?

J: Tanah rizab Melayu ialah kawasan tanah yang telah diisytiharkan sebagai tanah rizab Melayu melalui gazet. Objektif utama diwujudkan tanah rizab adalah untuk menyekat tanah kerajaan di dalam kawasan Rizab Melayu daripada dilupuskan dengan apa cara juapun kepada bukan Melayu. Mana-mana kawasan yang telah diisytiharkan sebagai Rizab Melayu hendaklah kekal sebagai Rizab Melayu melainkan ianya diisytiharkan dan diwartakan sebagai batal oleh pihak yang berkenaan.

 

Nilaian Harga Tanah y

S : Saya ingin bertanya mengenai nilai harga tanah di negeri Perlis.

J: Tuan adalah dipohon untuk menghubungi Jabatan Penilaian Perkhidmatan Harta (JPPH) Perlis di talian: 04 - 976 2978 / 04 - 976 2977 untuk mendapatkan maklumat lanjut dan nilaian yang lebih tepat.

  RAKYAT   KERAJAAN   PEGUAM   BANTUAN